Jumaat, 20 Disember 2013

R.E.F.L.E.K.S.I

Pengalaman 3 tahun mengajar Sains SPM dan Biologi, berdepan dengan anak-anak didik yang hidup di zaman yang penuh kecanggihan dalam penggunaan teknologi, malahan rangkaian sosial yang  meluas antara para pelajar, memperlihatkan penggunaan ICT itu ada dimana-mana sahaja, tidak ada yang terlepas,sama ada golongan muda, tua, kanak-kanak malahan sesiapa sahaja amat berminat untuk turut serta menguasai IT.

Semasa zaman belajar, sejak di Matrikulasi lagi, Friendster sudah dimiliki oleh ramai rakan-rakan ku, dan aku tak terlepas, bila berinjak ke Universiti, semua dah punya akaun Facebook, tambahan sekarang lagi banyak aplikasi web 2.0 yang muncul, Instagram, We Chat, Whats app, hingga sampai satu tahap, aku pun tak tahu, apa lagi aplikasi web dan gadjet baru yang ada, apa yang pastinya, apabila seorang guru mengulang perkara yang sama dalam rutin hariannya, dan tidak melibatkan diri untuk menambah ilmu, terasa juga seolah-olah seperti katak berada di bawah tempurung.


Sama juga dengan diriku, pada awal-awal tahun menjadi guru, sangat bersemangat, ingin berkongsi pengalaman dengan para pelajar, apa yang ada di fikiran hanyalah matlamat untuk menyampaikan sesuatu mata pelajaran.

Rupanya tugas guru bukan hanya menyampaikan, tetapi guru perlu kreatif dan sentiasa mencari inisiatif baru menarik minat pelajar untuk belajar.

Semasa zaman aku mula belajar dulu di Universiti banyak teori dan kaedah pengajaran yang dipelajari, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk mengaplikasikan jika kita sekadar faham tetapi tidak dapat mengamalkannya.

Namun sesuatu yang aku temui daripada semester ini adalah, ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Benar, ia sesuatu yang menarik apabila kita menerokainya, sebelum ini pelbagai alasan kita berikan contohnya, kemudahan internet tidak disediakan dan sebagainya, namun sebenarnya, jika kita mahu, pasti ada jalannya.Kadang-kadang bilik komputer hanya digunakan oleh guru multimedia, guru IT, seolah-olah penggunaan bilik IT tidak secara maksimum. Oleh itu, guru-guru Sains juga, dalam kita ingin menjadikan pembelajaran lebih menarik dan tidak membosankan pelajar, maka penggunaan IT, dilihat paling membantu.


Jadi, guru-guru Sains kena pandai-pandai cari masa untuk bawa pelajar ke bilik komputer, atau apa-apa kaedah yang sesuai, agar pelajar dapat menggunakan pelbagai laman ilmu yang ada. Mungkin bagi sekolah di bandar tiada masalah, tetapi bagi sekolah-sekolah di luar bandar, anak-anak didik kita perlukan guru membimbing mereka.

Berilah peluang pada pelajar kita untuk mendapatkan sistem pendidikan yang setara dengan rakan-rakan mereka di tempat lain juga.

Guru perlu berusaha meningkatkan mutu pengajaran, agar tidak ada lagi yang berkata bahawa kita “seolah-olah sudah jauh ketinggalan”, “ guru-guru sangat selesa dengan  keadaan yang ada” atau “sistem pendidikan kita tidak setaraf antarabangsa”

Jadi, guru-guru masa kini lah yang berupaya mencorakkan mutu sistem pendidikan supaya berada di peringkat yang sewajarnya.

Pelajar juga perlu diberikan sistem pendidikan yang memupuk pemikiran aras tinggi, maka barulah kedudukan kita dalam kajian TIMSS atau PISA, berada di ranking yang membanggakan.

Pelbagai usaha sebenarnya diperkenalkan oleh KPM sendiri, antaranya ialah program i-THiNK, pelbagai jenis peta pemikiran didedahkan kepada guru melalui LADAP, maka usaha seterusnya ialah guru-guru mengamalkannya dalam PdP.


Begitu juga dengan keadaan diriku, bagi kelas yang mengambil subjek Sains, para pelajarnya mudah untuk diuruskan, mereka sangat teruja apabila setiap kali kelas, kerana yang pasti memang aktiviti eksperimen adalah sesuatu yang ditunggu bagi mereka, malah dari segi teori dan konsepnya adalah lebih mudah.

Namun apabila melibatkan konsep yang lebih sukar, kehadiran IT memudahkan segalanya, pelajar akan dipertontonkan dengan video-video Sains yang banyak dikongsikan di YouTube.
Semenjak mengikuti kuliah yang disampaikan oleh Prof Dr. Sopia, baru aku sedari terdapat perbezaan antara modeling dan simulasi. Rupanya ‘Modeling’ itu lebih menarik. Ia memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menerokai ilmu melalui aktiviti yang interaktif.

Kemudian, semasa dalam kelas tersebut juga baru ku sedari bahawa, selama ini matlamat kerajaan adalah menwujudkan Sekolah Bestari bagi semua sekolah di Malaysia, Ya…bagi SEMUA sekolah, kerana itu pelbagai usaha diperkenalkan malah terbaru ialah VLE Frog Asia. Insya allah, tahun depan, aku akan memulakan penggunaan Virtual Learning Environment dengan lebih meluas, kerana sebenarnya aktiviti seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai dunia pembelajarannya sendiri,bukan menafikan tugas dan peranan guru sebagai pengajar namun tugas guru sebenarnya menjadi lebih penting lagi iaitu sebagai pembimbing bagi para pelajarnya.


Dan satu lagi ilmu berguna yang aku peroleh ialah kerangka alternative. Kalau selama ini, guru sering tidak perasan akan kerangka (misconception) yang ada pada pelajar, namun semasa kelas bersama Prof Sopia, beliau sering menggingatkan bahawa kerangka yang wujud ini perlu dikenalpasti, untuk memastikan pelajar memperoleh pembelajaran yang berkesan. Terdapat teknik mencungkil idea yang diperkenalkan dalam kelas kerangka alternative bersama beliau.

Selain itu antara perkara baru dan menarik bagi diriku ialah data logger, kalau sebelum ini aku seperti langsung tidak tahu berkenaan ini, namun apabila diperkenalkan baru ku sedari bahawa, penggunaan data logger amat menjimatkan masa, eksperimen menjadi lebih tepat dan pantas. Banyak masa terluang dapat dimanfaatkan untuk sesi perbincangan. Cuma dari segi kekangannya ialah software dan data loggernya nya agak mahal.
Yang jelasnya terdapat pelbagai aplikasi penggunaan ICT dapat dimanfaatkan untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran Sains lebih menarik, dan guru perlu berusaha mempersiapkan diri berdepan dengan generasi Y.

Ini adalah secebis daripada refleksi kendiri ku, ia tak merujuk kepada kelemahan mana-mana pihak.

Sebagai satu ingatan untuk diriku sendiri, bahawa, sebaik sahaja digelar guru, sejak itulah amanah mendidik anak-anak murid berada digalas bahu.

Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga,alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Niatlah kerana Allah taala, kerana setiap tindakanmu akan disoal kelak di akhirat.


Khamis, 19 Disember 2013

S.a.l.a.m


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,



Selamat datang ke e-portfolio saya, terima kasih kerana sudi melawat.

Semoga e-portfolio ini bermanfaat untuk anda.